Demam kuning atau neonatal jaundice adalah keadaan di mana kulit dan bahagian putih mata bayi baru lahir kelihatan kekuningan. Ini terjadi disebabkan oleh peningkatan kadar bilirubin iaitu pigmen kuning yang terhasil akibat pemecahan sel darah merah yang lama di dalam aliran darah bayi.
Hati bayi yang baru lahir masih belum matang dan tidak mampu memproses serta membuang bilirubin dengan cepat melalui najis. Paras kuning boleh menjadi lambat turun disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan susu (dehidrasi), perbezaan kumpulan darah antara ibu dan anak (ABO/Rhesus Incompatibility), atau Breastmilk Jaundice (bahan dalam susu ibu yang melambatkan hati memproses bilirubin namun penyusuan susu ibu tidak boleh dihentikan!). Jika paras bilirubin terlampau tinggi dan dibiarkan, ia boleh menembusi dinding otak bayi dan menyebabkan kerosakan saraf kekal (Kernicterus).
Kuning selalunya muncul pada hari ke-2 atau ke-3 selepas lahir. Namun, ibu bapa wajib membawa bayi ke klinik dengan segera sekiranya:
-
-
Kuning muncul dalam tempoh 24 jam pertama selepas bayi dilahirkan.
-
Warna kuning kelihatan semakin pekat dan merebak ke bahagian perut, paha, dan kaki.
-
Bayi kelihatan terlalu mengantuk, tidak mahu menyusu, mendongakkan kepala ke belakang, atau tangisannya bernada tinggi (high-pitched cry).
-
Najis bayi kelihatan pucat seperti warna tanah liat atau air kencing berwarna pekat.
-
Satu-satunya cara yang tepat untuk mengukur paras bilirubin adalah melalui Pemeriksaan Kuning Bayi (ujian darah ringkas pada tumit bayi) di klinik, bukan sekadar melihat dengan mata kasar. Rawatan perubatan yang sah adalah fototerapi (rawatan lampu biru) di hospital jika parasnya melebihi had selamat, di samping memastikan penyusuan susu ibu dilakukan dengan kerap (8 hingga 12 kali sehari) untuk membantu bayi membuang bilirubin melalui najis. Ibu bapa dilarang sama sekali menggunakan kaedah tradisional yang berbahaya seperti menjemur bayi di bawah matahari (risiko strok haba/kulit terbakar) atau memberi susu kambing/air herba kerana boleh merosakkan usus bayi.




