Sarapan merupakan suatu aspek penting dalam gaya hidup sihat. Ia memberikan tenaga yang diperlukan untuk memulakan hari, meningkatkan prestasi kognitif, dan membantu dalam pengawalan berat badan. Untuk memastikan sarapan anda memberikan manfaat maksimum, berikut adalah 5 cara makan yang sihat ketika bersarapan sebelum memulakan hari baru anda:
-
Waktu makan yang tetap
Cuba amalkan waktu sarapan yang tetap pada setiap hari dan ini akan membuatkan sistem tubuh anda akan berfungsi dengan lebih cekap jika anda makan mengikut waktu.
-
Sediakan sarapan anda sendiri
Siapa kata sarapan itu tidak penting dan membosankan? Jadikan sarapan sesuatu yang menyeronokkan dengan menyediakan sendiri sarapan yang mudah dan ringkas seperti sandwich yang penuh dengan salad atau semangkuk bijirin sama ada oat atau muesli yang ditambah dengan buah-buahan, susu atau yogurt.
-
Pilih makanan yang rendah lemak
Kurangkan kekerapan pengambilan nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, lontong, roti canai atau kuih-muih yang bergoreng kerana makanan-makanan sebegini menggunakan minyak dan santan yang banyak dalam masakan.
-
Pilih makanan yang tinggi serat
Diet yang tinggi kandengan seratnya dapat membuatkan anda cepat kenyang dan bertahan lebih lama. Ini dapat mengelakkan anda daripada makan banyak pada waktu tengah hari. Kebiasaannya, diet tinggi serat mempunyai kalori yang lebih rendah. Anda mungkin boleh mencuba makanan-makanan ini dari sumber seperti roti mil penuh, oat, jagung, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran.
-
Konsisten saiz hidangan anda
Sarapan yang sempurna mempunyai 3 komponen; satu hidangan karbohidrat, satu hidangan protein, tenusu dan makanan tinggi kalsium, manakala satu lagi hidangan untuk buah-buahan.
Dengan mengamalkan cara makan yang sihat semasa bersarapan, anda tidak hanya memberikan tubuh dengan nutrien yang diperlukan tetapi juga meningkatkan keupayaan untuk menangani tugas dan cabaran harian. Ingatlah, sarapan yang sihat bukan sahaja memberikan tenaga fizikal tetapi juga menyumbang kepada kestabilan emosi dan mental anda sepanjang hari. Selamat menikmati sarapan yang sihat untuk memulakan hari baru dengan bertenaga!




