Anemia dalam kehamilan adalah satu keadaan di mana bilangan sel darah merah atau tahap hemoglobin (Hb) di dalam darah ibu berada di bawah paras normal (iaitu kurang daripada 11 g/dL). Hemoglobin ini bertindak sebagai “kenderaan” yang mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh tisu badan ibu dan juga kepada bayi dalam kandungan.
Semasa hamil, isipadu darah ibu meningkat hampir 50% untuk menyokong pertumbuhan janin. Sekiranya ibu kekurangan zat besi, badan tidak mampu menghasilkan hemoglobin yang mencukupi. Kesannya, oksigen tidak dapat dihantar dengan cekap. Anemia yang teruk meningkatkan risiko kelahiran pramatang, bayi lahir kurang berat badan (LBW), keguguran, dan risiko paling ditakuti oleh pakar perubatan iaitu tumpahan darah yang kritikal semasa atau selepas bersalin (Postpartum Haemorrhage).
Pemeriksaan darah pertama (buka buku pink) adalah waktu paling awal untuk mengesan masalah ini. Walau bagaimanapun, ibu hamil perlu peka sekiranya pada bila-bila masa sepanjang kehamilan mereka mula mengalami simptom seperti:
-
-
Sering pening kepala, rasa melayang, atau hampir pitam.
-
Kelesuan yang melampau walaupun tidak melakukan kerja berat.
-
Kulit, bibir, atau kuku kelihatan pucat.
-
Jantung berdebar-debar atau sesak nafas walaupun hanya berjalan dekat.
-
Langkah paling utama adalah melalui Pemeriksaan Berkala Ibu Mengandung dan Pemeriksaan Darah secara konsisten di klinik. Doktor wanita akan memantau carta Hb anda, memberikan suplemen zat besi yang sesuai (seperti Iberet, Maltofer, atau Zincofer), serta menasihati pelan pemakanan tinggi zat besi (seperti daging merah, bayam, dan kerang) yang diambil bersama Vitamin C untuk penyerapan optimum.




