Kanser Serviks: Pembunuh Senyap Wanita & Kepentingan Pengesanan Awal

Kanser serviks adalah kanser yang berlaku pada sel-sel di leher rahim (bahagian bawah rahim yang menyambung ke faraj). Hampir 99% kes kanser serviks dikaitkan dengan jangkitan virus HPV (Human Papillomavirus) yang berisiko tinggi. Manakala Pap Smear pula adalah satu prosedur saringan ringkas di mana sampel sel kecil diambil dari leher rahim untuk dikesan jika terdapat perubahan sel yang tidak normal (pra-kanser) sebelum ia bertukar menjadi kanser.

Kanser serviks dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana pada peringkat awal (pra-kanser), ia langsung tidak menunjukkan sebarang simptom atau rasa sakit. Sel-sel kanser boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang secara rahsia. Menunggu sehingga timbulnya rasa sakit atau pendarahan bermakna kanser mungkin sudah berada di peringkat lewat yang sukar dirawat. Ujian Pap Smear membolehkan sel pra-kanser dikesan dan dirawat awal, memberikan kadar kesembuhan sehingga 100%.

Semua wanita yang berumur antara 21 hingga 65 tahun yang pernah melakukan hubungan seksual (sama ada sudah berkahwin atau pernah berkahwin) wajib melakukan ujian Pap Smear sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun sekali. Ujian ini paling sesuai dilakukan dalam tempoh 10 hingga 20 hari selepas hari pertama haid terakhir anda (bukan waktu sedang haid).

Prosedurnya sangat cepat, hanya mengambil masa sekitar 5 hingga 10 minit sahaja. Doktor akan menggunakan alat perubatan yang dipanggil spekulum secara lembut untuk melihat leher rahim dan mengambil sampel sel menggunakan berus halus. Di Klinik Dr Miss, kami memahami sensitiviti ini, sebab itu servis Pap Smear kami dikendalikan 100% oleh Doktor Wanita dalam persekitaran yang sangat privasi, tenang, dan selesa demi menjaga maruah serta keselesaan para ibu.