Apa Itu Influenza A dan Mengapa Ia Tidak Sama Dengan Selesema Biasa?

Ramai orang menganggap Influenza A sekadar “selesema biasa”, tetapi hakikatnya ia adalah jangkitan virus yang lebih serius dan mudah merebak, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Apa Itu Influenza A?

Influenza A ialah sejenis virus influenza yang menyerang sistem pernafasan (hidung, tekak, paru-paru). Ia termasuk dalam kumpulan virus influenza yang menyebabkan penyakit bermusim (seasonal flu) dan kadangkala boleh mencetuskan wabak global (pandemik) seperti H1N1.

Terdapat beberapa subjenis Influenza A, seperti H1N1, H3N2, dan lain-lain, yang boleh berubah (mutasi) dari semasa ke semasa — menjadikan perlindungan vaksin tahunan sangat penting.

Gejala Influenza A

Gejala Influenza A biasanya lebih teruk berbanding selesema biasa, dan muncul secara tiba-tiba. Antaranya:

  • Demam tinggi (boleh mencecah 39°C ke atas)

  • Sakit kepala dan sakit otot

  • Batuk kering dan tekak perit

  • Hidung tersumbat atau berair

  • Keletihan melampau

  • Kadangkala muntah atau cirit-birit (terutamanya pada kanak-kanak)

Pesakit biasanya akan pulih dalam 5–7 hari, namun keletihan boleh berlanjutan hingga beberapa minggu.

Cara Jangkitan

Influenza A sangat mudah berjangkit. Ia merebak melalui:

  • Titisan udara daripada batuk atau bersin individu dijangkiti

  • Sentuhan tangan dengan permukaan yang tercemar dan menyentuh hidung atau mulut

  • Kontak rapat seperti berpelukan atau berkongsi peralatan makanan

Seseorang boleh menyebarkan virus ini sehari sebelum gejala muncul sehingga 7 hari selepas jatuh sakit.

Siapa Yang Berisiko Tinggi?

Walaupun sesiapa sahaja boleh dijangkiti, golongan berikut lebih mudah mendapat komplikasi serius:
👶 Bayi & kanak-kanak kecil
👵 Warga emas (60 tahun ke atas)
🤰 Wanita hamil
🫁 Pesakit kronik (asma, diabetes, jantung, paru-paru)
🧬 Individu imun rendah

Komplikasi Influenza A

Tanpa rawatan yang betul, Influenza A boleh menyebabkan:
⚠️ Pneumonia (radang paru-paru)
⚠️ Jangkitan sinus atau telinga
⚠️ Kerosakan otot dan dehidrasi
⚠️ Kematian, terutama bagi pesakit berisiko tinggi

Pencegahan Melalui Vaksin Influenza

Cara paling berkesan untuk mencegah Influenza A ialah dengan mengambil vaksin influenza setiap tahun.
💉 Kanak-kanak bawah 9 tahun yang pertama kali ambil vaksin perlu 2 dos (jarak sebulan).
💉 Dewasa dan kanak-kanak 9 tahun ke atas1 dos setiap tahun.

Vaksin ini membantu tubuh membina imuniti terhadap strain virus semasa yang aktif, termasuk H1N1.

Cara Kawal dan Rawat Influenza A

Jika disahkan dijangkiti Influenza A:
✅ Rehat secukupnya dan banyakkan minum air
✅ Ambil ubat antiviral atau demam seperti diarahkan doktor
✅ Elakkan ke tempat awam atau sekolah bagi mencegah penularan
✅ Pakai mask dan amalkan kebersihan tangan

Influenza A bukan sekadar selesema biasa — ia penyakit yang boleh membawa komplikasi serius jika diabaikan. Vaksin tahunan adalah langkah perlindungan terbaik, terutamanya untuk kanak-kanak, warga emas, dan pesakit kronik.

Featured Articles

Featured video

Watch Dr. Paul Harris talk about family health care practice and his patient-centered approach

Healthy Newsletter

Quo ea etiam viris soluta, cum in aliquid oportere. Eam id omnes alterum. Mei velit